Pendahuluan. (3/2m)
Raja atau sultan memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan di
Tanah Melayu. Sebelum kedatangan penjajah, sultan memainkan peranan
penting dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Namun penguasaan
penjajah British ke atas Tanah Melayu menyebabkan kuasa sultan mulai
terhakis. Sebaliknya British mula memainkan peranan dalam politik,
ekonomi dan sosial. Walaupun kuasa sultan kian terhakis pada zaman
penjajahan British namun sultan tetap menjadi unsur penting dalam
sistem pemerintahan di Tanah Melayu.
Isi – (20m)
A. Peranan sultan sebelum penjajahan British (10m)
i. Politik
a. Sultan sebagai ketua kerajaan
Sultan
berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan
pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan
mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat
tidak boleh membantah perintah sultan kerana dianggap mengengkari
perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu,
perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum
manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang,
menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan
pesalah
b. Peranan sultan melantik pembesar
Sultan
berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan
pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang
jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak
melantik penggantinya sendiri iaitu dalam kalangan putera-putera
baginda.
c. Sultan menentukan hubungan diplomatik
Sebagai
ketua negara, sultan bertanggungjawab mengetuai rundingan dengan
ketua-ketua negara asing. Sebarang tindakan hal ehwal luar tidak sah
jika dilakukan oleh pembesar tanpa kehadiran sultan. Semua perjanjian
atau persetiaan dengan pihak luar tidak sah tanpa pengesahan sultan.
Persetiaan dengan pihak luar perlu ditandatangani oleh 12 orang atau
lebih pembesar serta ditandatangani oleh sultan
d. Sultan berperanan sebagai ketua tentera.
Sultan
menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku
peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera mempertahankan negara
daripada serangan musuh atau menakluk negara lain.
ii. Ekonomi
a)
Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi. Sultan mengambil bahagian
dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan. Baginda
berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan
pemungut cukai. Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan
takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya.
Contohnya Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) dari
Kelang daripada Raja Mahdi. Sultan Pahang memperoleh cukai import yang
dikenakan di Muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi
pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan
urusan itu kepada para pembesar negeri.
b)
Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah. Melalui sistem ini
rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar
upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat
ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan,
membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya. Golongan
bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus
tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contoh di Kedah mereka yang
dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi),
golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan
orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial
dalam kalangan rakyat.
iii. Sosial
a)
Sultan merupakan lambang perpaduan, dan simbol penyatuan negara dan
rakyat. Seseorang sultan sangat memerlukan sokongan dan kesetiaan
rakyatnya bagi membolehkannya memerintah dengan berkesan. Kewibawaan
seseorang sultan bergantung kepada kemakmuran hidup rakyatnya. Bagi
mewujudkan kesetiaan rakyat terhadap sultan maka seseorang sultan itu
dilambangkan dengan kuasa sakti dan mempunyai darah putih. Hak ini
bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat
setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula
dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.
b)
Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat
Melayu. Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi
penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting
untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah
jajahannya. Lantaran itulah istana memainkan peranan penting sebagai
tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu
B. Perubahan peranan sultan akibat penjajahan (10m)
a)
Selepas campur tangan British, British telah memperkenalkan sistem
Residen. Di bawah sistem Residen, Residen merupakan kuasa yang tertinggi
dalam pemerintahan di negeri-negeri Melayu. British memperkenalkan
pentadbiran berbentuk birokrasi, iaitu ditadbir oleh sekumpulan pegawai.
Sultan telah kehilangan kuasa mentadbir yang dinikmati sebelum ini.
b)
Sultan kehilangan kuasa mutlak. British memperkenalkan sistem
perundangan baru. Baginda tidak lagi berkuasa menjatuhkan hukuman.
British memperkenalkan sistem perundangan yang lebih teratur dengan
melantik hakim-hakim untuk melaksanakan sistem kehakiman.
c)
Majlis Sultan diganti dengan Majlis Negeri. Walaupun sultan menjadi
Residen Majlis Negeri tetapi semua keputusan Majlis Negeri dibuat oleh
residen. Sultan kehilangan kuasa sebagai ketua pentadbir. Walaupun
sultan masih menjadi ketua negara, namun kuasa mentadbir berada di
tangan residen.
d)
Sultan kehilangan kekuasaan terhadap ekonomi kepada Residen British.
Urusan percukaian, import-eksport tidak lagi berada di bawah kekuasaan
sultan tetapi di tangan British.British secara beransur-ansur
memperkembangkan ekonomi kapitalis dan secara beransur-ansur ekonomi
tradisional terhakis.
e)
Pada zaman penjajahan British sultan juga tidak dibenarkan mempunyai
tentera sendiri. Pentadbir British telah membentuk pasukan polis dan
askarnya sendiri. Hal ini bermakna bidang keselamatan terlepas daripada
kekuasaan sultan. Sultan hanya memainkan peranan dalam upacara kerajaan
negeri sahaja.
No comments:
Post a Comment