Saturday 13 October 2012

Pada separuh kedua abad ke-19, Johor di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar lebih stabil berbanding Negeri-negeri Melayu pantai barat seperti Selangor dan Perak. Bincangkan.

Pendahuluan (3/2)
Pada separuh kedua abad ke-19, Johor yang ketika itu ditadbir oleh Sultan Abu Bakar adalah lebih
stabil berbanding dengan negeri Perak dan Selangor. Kebijaksanaan Sultan Abu Bakar bukan sahaja
berjaya mewujudkan kestabilan dan keamanan di Negeri Johor tetapi juga telah berjaya menghindarkan
Johor daripada dikuasai oleh Inggeris. Mengikut Rupert Emerson, kemerdekaan Johor pada amnya
disebabkan oleh kebijaksanaan dan kematangan politik pemerintahnya (Sultan Abu Bakar) yang dapat
menyesuaikan diri dengan keadaan sosiopolitik yang kian berubah.

Isi (20m)


    Terdapat dua faktor utama yang mempengaruhi wujudnya kestabilan di Negeri Johor, yang pertama
ialah kebijaksanaan Sultan Abu Bakar dan keduanya ketiadaan kekacauan dalam kalangan orangorang
Cina di Johor. Keadaan ini tidak wujud di negeri Melayu yang lain khususnya Perak dan
Selangor.
   
    Sultan Abu Bakar yang menaiki takhta pada tahun 1862 telah melaksanakan satu sistem
pemerintahan yang kemas dan teratur berbanding dengan sistem yang dikuatkuasakan di Selangor
dan Perak. Jabatan-jabatan kerajaan, sistem keadilan moden, pasukan askar dan polis telah
ditubuhkan. Kebijaksanaan dalam pemerintahan menyebabkan baginda digelar sebagai ‘bapa
pemodenan Johor’. Pada tahun 1895 Sultan Abu Bakar telah memperkenalkan Undang-undang
Tubuh Negeri Johor, Undang-undang ini digubal melalui beberapa orang pegawai British dan ia
dilaksanakan mengikut nasihat British. Melalui undang-undang ini keharmonian dapat diwujudkan
di negeri Johor.

   Sikap Sultan Abu Bakar yang menjalinkan hubungan baik dengan kuasa-kuasa barat juga
mempengaruhi wujudnya kestabilan di Johor, pada tahun 1868 baginda telah melakukan lawatan dan
mengadap Ratu Victoria di England. Tahun 1893 baginda telah melawat Itali dan Turki. Hubungan
baik dengan kuasa barat khususnya Britian telah menyebabkan Ratu Victoria mengurniakan bintang
‘Knight Commander Of The Star Of India’ dan gelaran Maharaja.

     Sultan Abu Bakar juga telah bertindak mengambil pegawai-pegawai British sebagai penasihatnya
dalam pentadbiran. Keadaan ini menyebabkan, British merasakan diri mereka terlibat secara
langsung dalam pentadbiran di Johor. Penglibatan British dalam pentadbiran di Johor telah dapat
mewujudkan keamanan politik dan kestabilan di Johor. Keadaan ini tidak berlaku di Perak dan
Selangor yang bertindak enggan menerima pegawai-pegawai penasihat British yang akhirnya
membawa kepada campur tangan British di negeri-negeri berkenaan.
 
   Disamping memodenkan bidang ekonomi, Sultan Abu Bakar juga telah memajukan ekonomi Johor.
Baginda telah mewujudkan suasana yang aman dan membenarkan saudagar-saudagar dari negerinegeri
Selat untuk datang berdagang di Johor tanpa gangguan. Sultan Abu Bakar juga telah
memajukan perladangan gambir dan lada hitam dengan menggalakkan kemasukan orang-orang Cina
khususnya dari Singapura di bawah Sistem Kangcu. Sistem Kangchu yang dilaksanakan di Johor
telah menyebabkan ekonomi Johor berkembang pesat dan ini menyumbang kepada kestabilan di
Johor.

  Satu lagi faktor penting yang menyumbang kepada kestabilan di Johor ialah tiadanya kekacauan
dalam kalangan orang-orang Cina. Orang-orang Cina yang datang ke Johor di bawah Sistem Kangcu
ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai Kangkar. Setiap kawasan atau
Kangkar akan diawasi oleh seorang ketua yang dikenali sebagai Kangcu. Kangcu dilantik dalam
kalangan orang-orang Cina yang mempunyai Surat Sungai yang dikeluarkan oleh kerajaan Johor.
Oleh kerana orang-orang Cina diberi kawasan petempatan masing-masing maka perselisihan tidak
berlaku dalam kalangan mereka. Orang-orang Cina hanya berkuasa di kawasan atau Kangkar
masing-masing. Keadan ini tidak berlaku di negeri Perak dan Selangor. Di kedua-dua negeri tersebut
orang-orang Cina bebas bergerak di kawasan perlombongan dan perebutan kawasan sering berlaku
dalam kalangan mereka, contohnya perbalahan kumpulan Ghee Hin dan Hai San dalam Perang Larut
di Perak.

 Di samping itu kebanyakan orang-orang Cina di Johor terdiri daripada satu suku kaum sahaja iaitu
Teochew. Oleh itu permusuhan tidak timbul dalam kalangan mereka. Keadaan ini berbeza dengan
negeri Perak dan Selangor di mana orang-orang Cina terdiri daripada suku kaum dan berasal dari
daerah yang berbeza seperti Hakka, Hainan, Khek, Kongfu dan sebagainya. Mereka cenderong
membentuk kumpulan kongsi gelap berasaskan suku kaum dan daerah asal seperti Ghee Hin, Hai
San, Toh Pek Kong dan sebagainya.

 Johor juga dapat mewujudkan kestabilan kerana tidak berlakunya perebutan kuasa dalam kalangan
anak-anak raja dan pembesar-pembesar negeri. Pada masa pemerintahan Sultan Abu Bakar tidak
timbul perebutan dan penentangan terhadap kekuasaan baginda. Walaupun berlaku pemindahan
pemerintahan daripada keturunan Sultan kepada Temenggung tetapi ia berlaku tanpa menimbulkan
perbalahan kerana proses pemindahan ini dilakukan bukan melalui kekerasan tetapi melalui
perjanjian apabila Sultan Ali (anak Sultan Hussien) menandatangan satu perjanjian dengan
Temenggung Daeng Ibrahim (bapa Sultan Abu Bakar) pada tahun 1855. Keadaan ini tidak berlaku di
negeri-negeri Melayu yang lain. Di Perak dan Selangor perebutan takhta dalam kalangan anak raja
dan pembesar tempatan menyebabkan berlakunya huru-hara yang membawa kepada campur tangan
British.

 Kurangnya potensi ekonomi di Johor juga mempengaruhi wujudnya kestabilan politik di Johor.
Pelaburan modal saudagar Negeri Selat amat terhad berbanding dengan pelaburan mereka di Perak
dan Selangor. Oleh itu pihak British tidak membuat kawalan ketat ke atas Johor kerana tidak
mempunyai kepentingan ekonomi yang banyak. Pihak British begitu berminat untuk menguasai
negeri pantai barat khususnya Perak dan Selangor yang kaya dengan bijih timah, lantaran itu British
menggunakan apa cara untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri tersebut.



 Kesimpulan (2/3m)
Kebijaksanaan Sultan Abu Bakar dan keamanan yang disumbangkan oleh orang-orang Cina di Johor
telah telah mewujudkan kestabilan di negeri Johor pada separuh kedua abad ke-19. Kestabilan ini begitu
bermakna kerana dengan kestabilan tersebut Johor dapat mengekalkan kedaulatan negerinya agak lama
berbanding dengan negeri-negeri Melayu yang lain. Johor merupakan negeri Melayu yang terakhir jatuh
ke tangan British iaitu pada tahun 1914 dan ia dikelompokkan oleh British dalam kumpulan Negerinegeri
Melayu Tidak Bersekutu pada tahun 1915.

No comments:

Post a Comment